Make your own free website on Tripod.com

KRISIS MATAWANG MALAYSIA

BAGAIMANA DAN MENGAPA IA BERLAKU

 

9. PEMULIHAN KUKUH DAN PENGAJARAN

 

          MALAYSIA sudah berjaya pulih dan lebih memberangsangkan ia pulih dengan cepat dan kukuh. Pakar-pakar yang dulunya meramalkan kononya ekonomi negara akan punah-ranah apabila Malaysia melaksanakan langkah kawalan tukaran asing berpilih itu kini sama ada senyap atau dengan penuh segan-silu terpaksa mengaku bahawa ia berkesan dan membolehkam Malaysia pulih dengan gagah.

 

          Akhir-akhir ini, IMF juga tela memuji Malaysia kerana dapat meneylesaikan masalah ekonominya dengan dengan langkah kawalan modal berpilih yang dirumuskannya sendiri. George Soros sendiri pun, yang sebelum ini menemplak Malaysia dan kepimpinannya kerana secara terang-terangan menyebut bahawa peniaga matawang adalah dalang di sebalik penurunan nilai matawang dan kemusnahan ekonomi beberapa negara, kini mula mengakui Malaysia sudah melakukan sesuatu yang tepat dengan tidak tunduk kepada IMF dan formula seragamnya yang difikirkan dapat menyelesaikan semua masalah ekonomi.

 

          Agak aneh juga apabila Soros, seorang peniaga matawang yang sememangnya terkenal dengan sifat halobanya, kini bersetuju dagangan matawang perlu dikawal, bahawa pasaran itu tidak sempurna dan tidak boleh diharapkan untuk menentukan kadar tukaran. Bagaimanapun, IMF dan negara Barat besar dan berkuasa masih berkeras dengan pendirian bahawa kebebasan untuk berniaga matawang perlu dikekalkan. Bagi mereka kebebasan adalah keramat dan ia jangan sekali-kali cuba dibendung. Ia seolah-olah sudah menjadi satu pegangan yang tidak boleh dipersoalkan.

 

          Tidak syak lagi bahawa dagangan matawang sudah membawa akibat yang membinasakan ekonomi negara yang nilai matawangnya diturunkan. Dalam beberap kejadian, kegawatan ekonomi dan kewangan yang disebabkan oleh penurunan nilai matawang disusuli pula dengan pengangguran yang berleluasa, kekurangan makanan, bahan api,tunjuk perasaan, rusuhan, pembakaran premis perniagaan, rompakan malah rogol dan pembunuhan. Kerajaan pula digulingkan dan digantikan dengan kepimpinan yang goyah dan bukan hanya mengikut telunjuk IMF atau kuasa besar Barat, malah tidak mampu untuk mewujudkan kestabilan, jauh sekali menegakan keadilan atau memulihkan ekonomi. Ini sebenarnya adalah negara yang kerajaannya sebelum ini berjaya membuktikan kemampuan mereka untuk membangunkan negaranya sehingga menjadi harimau ekonomi. Begitupun, peniaga matawang masih tidak dipersalahkan atas perbuatan mereka terhadap ekonomi harimau ini. Kesalahan itu diletakkan bulat-bulat di bahu kerajaan. Mereka dituduh mengamalkan rasuah, kronisme dan nepotisme, tidak telus dan mengamalkan system yang buruk.

 

          Selagi wujudnya keengganan untuk mengakui hakikat bahawa dagangan matawang dan ketamakan peniaga matawang yang menyebabkan kemusnahan kepada ekonomi kebanyakan negara, selagi itulah kerosakan akan terus dapat dilakukan oleh dagangan matawang walaupun keatas negara yang mempunyai ekonomi kukuh. Negara yang berkuasa sekalipun tidak akan bebas daripada ancaman ini dan perkara ini di buktikan dengan terkuburnya LTCM.

 

          Memang tiada harapan untuk melihat dagangan matawang dikawal atau  diharamkan dalam masa yang singkat ini. Terlalu ramai manusia berkuasa meraih terlalu banyak keuntungan daripadanya. Bagi mereka, hakikat bahawa keuntungan yang diperolehi itu walau pun atas penderitaan orang sudah daif dari negara yang miskin pula tidak dikisahkan.

 

          Seperti yang pernah dikiaskan oleh seorang Perancis, “jin itu sudah dilepaskan daripada botol kurungannya dan tiada seorang pun di dunia ini yang boleh memasukkannya kembali”. Kenyataan ini ialah satu pengakuan yang menarik terutama jika mengambilkira bahawa mereka yang melepaskan jin itu ialah orang melantik diri mereka sendiri sebagai polis dunia, jaguh hak asasi manusia dan membela golongan yang tertindas di seluruh pelosok dunia. Warha dunia yang miskin dan lemah sepatutnya membuka mata mereka. Mereka harus sedar bahawa harga diri mereka tidak dipedulikan; yang pentingnya ialah kebebasan peniaga matawang untuk berniaga mesti dikekalkan.

 

          Pengalam Malaysia dalam menangani kegawatan ekonomi dan kewangan ini akan menjadikannya lebih mantap dan bersedia menghadapi krisis serta kegawatan yang mungkin datang pada masa depan. Pengajaran utama daripada pengalaman ini ialah perlunya kita mengetahui punca sebenarnya ialah berlaku, bagaimana ia berlaku dan hubungan di antara pelbagai factor yang berbeza. Sebaik sahaja maklumat terpeinci itu diketahui, tidak mustahil satu strategi dapat di rumuskan untuk menetang kuasa penyebab masalah itu. Beberapa penyelesaian mungkin datang untuk sesuatu masalah dan ia perlu dibincangkan serta di cuba. Rumusan alternatif sebagai sokongan perlu juga disiapkan  kira rumusan terpilih gagal. Perlaksanaan sesautu penyelesaian itu harus dipantau oleh mereka yang merumuskan strategi itu sekurang-kurangnya untuk melihat proses perlaksanaannay bagi membolehkan sebarang langkah pembetulan diambil apabila perlu.

 

          Maklumat yang lengkap lagi berterusan mengenai apa yang berlaku di peringkat akar umbiadalah amat penting. Angka, graf, dan carta memberikan gambaran yang lebih jelas berbanding hanya laporan dengan perkataan. Penjelasan perlu dibuat secara lisan oleh pelapor itu sendiri. Sudah tentu mereka yang menerima laporan juga perlu berpengetahuan berhubung apa yang diperkatakan bagi membolehkannya membuat penilaian dan memutuskan apakah tindakan yang sepatutnya diambil. Memang sesuatu system itu penting tetapi yang lebih mustahak orang yang bekerja dalam system terbabit. Sebenarnya sesuatu system yang baik hanay mampu memberikan sebahagian penyelesaian kepada sesuatu masalah. Orang yang mengendalikan system itulah sebenarnya mampu menetukan bahawa ia benar-benar berkesan.

 

          Suatu lagi pengajaran yang penting ialah Malaysia perlu sentiasa berhati-hati dalam menguruskan ekonominya. Ia tidak harus memberi ruang dirinya dilemahkan oleh kecuaian dalam penyenggaraan ekonomi dan kewangannya yang kukuh. Hanya dengan kesungguhan yang tinggi kita dapat memastikan bahawa kadar pertumbuhan Malaysia cukup untuk membolehkannya mencapai status negara maju, seperti yang di aspirasikan dalam wawasan 2020.

 

          Krisis matawang yang melanda ialah krisis yang tidak kita perlukan dan tidak seharusnya berlaku jika matlamat tata cara kewangan antarabangsa adalah untuk mempermudahkan dagangan dan interaksi diantara negara, termasuk dari segi pelaburan langsung asing. Bagaimanapun, kuasa besar kapitalis barat mahukan sesuatu yang lebih daripada itu. Mereka mahu turut mempromosikan agenda politik mereka dan kerana itulah system kewangan antarabangsa yang ada hari ini bukan sekadar membenarkan dagangan matawang diteruskan, malah adakalanya digalakkan pula, walaupun ia sebenarnya tidak perlu dan hanya memusnahkan lebih banyak kekayaan berbanding jumlah kekayaan yang diciptanya.

 

  << Muka Depan